Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengusaha sebuah stesen minyak di Kulai kini berdepan tindakan undang-undang selepas disyaki membenarkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol subsidi RON95 dengan taktik menutup sebahagian nombor plat bagi mengelak dikesan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.36 malam, Jumaat lalu di sebuah stesen minyak di daerah Kulai. Pembelian dilakukan menggunakan kaedah tanpa tunai di pam minyak tanpa sebarang pengesahan identiti di kaunter.
Menurutnya, semakan transaksi mendapati hanya sebahagian daripada jumlah pembelian berjaya diisi sebelum pengisian dihentikan sepenuhnya. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak turut diperoleh dan sedang diteliti bagi membantu siasatan lanjut.
Baca juga:
- Ambil kira keresahan masyarakat setempat, batalkan projek ternakan babi Bukit Tagar – PM
- Laporan akhir sahkan bas bawa penuntut UPSI masuk selekoh pada kelajuan 114.7 km/j
- ‘Lu siapa? Itu sangkaan jahat YB’ – Pengarah Urusan Mydin Bidas MP DAP
Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan yang melarang penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berdaftar asing. Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Kes itu tercetus selepas tular video berdurasi kira-kira satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan seorang individu menegur pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura yang didakwa menutup sebahagian huruf pada plat kenderaan untuk menyerupai nombor tempatan ketika mengisi RON95. Dalam rakaman itu, pemandu terbabit dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera selepas ditegur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Tan Seng Lee, berkata pihaknya akan mengesan pemilik kenderaan berkenaan dan mengambil tindakan saman sekiranya nombor pendaftaran didapati menyalahi peraturan yang ditetapkan. Laporan kejadian telah dirujuk kepada KPDN untuk tindakan lanjut kerana membabitkan isu minyak subsidi.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian








