Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Penyanyi Shila Amzah ‘diserang’ secara lisan ketika sedang menjalani latihan konsert, dipercayai akibat campur tangan dalam hal keluarga seorang artis lelaki, kata polis.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata serangan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap Shila yang didakwa mencampuri masalah keluarganya.
Polis telah merakam keterangan empat individu termasuk suspek dan saksi kejadian, susulan laporan yang dibuat Shila di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Khamis lalu, kira-kira jam 5.31 petang. Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang merujuk kepada kesalahan melakukan ugutan jenayah.
Baca juga:
- Amira Othman umum hamil 30 minggu
- Isu gelaran juara, Zaha Spring pertahan kenyataan Ameng
- Dari gurauan jadi kenyataan, lelaki sahut cabaran TokTi joging 8KM
Berhenti memalukan keluarga
Dalam masa sama, tumpuan netizen turut terarah kepada perkongsian video oleh pelakon Nabila Huda, yang dilihat memberi amaran keras kepada seorang individu wanita bergelar Datin tanpa menyebut nama.
Dalam video tersebut, Nabila yang juga anak kepada legenda rock Datuk Amy Search menyuarakan rasa marahnya.
“Berhentilah memalukan keluarga, memalukan suami tercinta. Kau ingat kau besar sangat? Satu Malaysia tak suka kau, dah boleh keluar negara ini, tak ada orang yang boleh terima.
Dah banyak kali beri amaran
“Perangai kau tidak pernah berubah. Sekarang tengok apa yang kau dah buat. Sebab orang lain bagi pendapat tak boleh, semua nak ikut cara hidup kau.
“Ingat asal usul itu siapa. Aku dah banyak kali beri amaran, jangan sampai orang siasat siapa diri kau sebenar dan ‘korek’ segala benda jahat yang kau buat,” katanya tanpa menamakan sesiapa.
Walaupun ramai mengaitkan hantaran itu dengan konflik Shila, Nabila menafikan ia ditujukan kepada sesiapa secara spesifik dan menjelaskan ia hanya latihan monolog bagi watak baharu dalam projek lakonan terkininya.
Sumber: Harian Metro








