Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi menimbulkan keresahan di kalangan lebih 2,000 pegawai perubatan kontrak apabila e-placement mereka ditangguhkan buat kali kedua dalam tempoh sebulan. Keputusan ini menambah tekanan kepada doktor-doktor yang sudah lama menanti penempatan tetap selepas bertahun-tahun berkhidmat sebagai pegawai kontrak.
Gangguan sistem, e-Placement dibatalkan
Pada 27 Februari 2025, KKM membuka sistem e-placement untuk pegawai perubatan memilih negeri penempatan mereka. Bagaimanapun, sistem tersebut mengalami gangguan teknikal selama satu jam 30 minit, menyebabkan kesilapan dalam pemilihan penempatan seramai 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10.
Akibatnya, pada 6 Mac, KKM mengumumkan bahawa semua pemilihan yang dibuat pada 27 Februari dibatalkan. Bagi memastikan ketelusan, kementerian menetapkan tarikh baharu bagi proses e-placement iaitu pada 17 Mac. Pegawai yang ingin membuat rayuan pertukaran penempatan turut dimaklumkan bahawa mereka boleh berbuat demikian melalui sistem e-placement bermula 17 hingga 23 Mac, dan keputusan rayuan hanya akan diumumkan pada 28 April 2025.
- ‘Tiada unsur hubungan sejenis disiarkan dalam Kartun Santiago of the Seas’ – RTM
- Zahid janji siap Pan Borneo Sabah, atasi isu air & elektrik dalam lima tahun
- ‘Rakyat Sabah lebih bijak daripada pemimpin negara’ – Hadi Awang
- Kostum ‘Kurik Kundi’ bakal diperaga Allyson Ee di Jepun
- “Abang ni pun peminat rupanya!”- Lelaki selamba ‘larikan’ standee MINGYU SEVENTEEN buat ramai tergelak
Tangguh lagi di saat akhir, doktor kecewa
Namun, pegawai perubatan terlibat sekali lagi dikejutkan apabila menerima e-mel pada jam 11:45 malam, 15 Mac, memaklumkan bahawa e-placement pada 17 Mac ditangguhkan sekali lagi ke 25-27 Mac 2025, hanya beberapa hari sebelum Aidilfitri.
Ramai doktor meluahkan rasa kecewa kerana mereka telah mengambil cuti, menyusun semula jadual kerja, dan ada yang terpaksa mencari akses internet lebih baik semata-mata untuk memastikan proses e-placement berjalan lancar. Kini, mereka terpaksa mengulang semula semua persiapan dengan ketidakpastian yang masih menyelubungi masa depan mereka.
Doktor tuntut penjelasan & kepastian
Seorang doktor yang terkesan meluahkan, “Kami bukan minta dilayan seperti anak raja, tapi sekurang-kurangnya hormati maruah dan masa kami. Kenapa semua keputusan dibuat tanpa berbincang dengan kami terlebih dahulu?”
Ramai juga bimbang keadaan ini akan mendorong lebih ramai pegawai perubatan meletakkan jawatan dan mencari peluang di luar negara. Jika ini berlaku, sistem kesihatan negara bakal berdepan lebih banyak masalah, termasuk waktu menunggu pesakit yang lebih panjang serta kekurangan tenaga kerja di hospital kerajaan.
Doktor-doktor terlibat kini menuntut agar KKM memberikan jaminan dan kejelasan dalam urusan penempatan mereka, bagi mengelakkan isu ini berulang serta memastikan masa depan pegawai perubatan tidak terus dipermainkan.








