Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan bahawa sebuah hospital swasta menahan jasad bayi yang meninggal dunia selama dua minggu kerana ibu bapa gagal melunaskan bil hospital.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengesahkan perkara ini dan meminta semua pihak untuk bertenang sementara siasatan dijalankan.
“Saya secara jujur mahukan semua pihak bertenang dan mengizinkan pihak-pihak berwajib menjalankan siasatan termasuk CKAPS yang turut terlibat. Kami akan menunggu dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menyiasat kes ini,” katanya memetik laporan Harian Metro, Khamis.
Beliau turut menyeru semua pihak agar mengutamakan rasa ihsan, belas kasihan, dan empati dalam menghadapi situasi ini.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bayi terbabit. Beliau berharap masyarakat tidak menyebarkan spekulasi yang belum dipastikan kesahihannya.
“Ini bukan perkara mudah kerana terdapat pelbagai dakwaan. Saya percaya kita semua boleh bersabar untuk mendapatkan fakta sebenar sebelum membuat sebarang andaian yang akhirnya kita kesali,” katanya lagi.
Sumber: Harian Metro








