KKM sahkan kematian pertama COVID-19 2025, libatkan individu tanpa dos penggalak kedua | The Reporter

KKM sahkan kematian pertama COVID-19 2025, libatkan individu tanpa dos penggalak kedua

Satu kematian direkodkan tahun ini akibat COVID-19.
Kematian pertama akibat COVID-19 tahun ini membabitkan individu komorbid tanpa dos penggalak kedua. Gambar hiasan: University of Cape Town

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kes kematian akibat COVID-19 direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24), menjadikannya kes kematian pertama tahun ini.

Menurut kenyataan, kes tersebut melibatkan individu yang mempunyai komorbiditi serius iaitu penyakit jantung dan diabetes serta tidak menerima dos penggalak kedua.

“Situasi ini menunjukkan penurunan ketara berbanding 57 kes kematian COVID-19 yang direkodkan pada tahun 2024. Kematian terakhir sebelum ini berlaku pada 26 Mei 2024, membuktikan keberkesanan pelaksanaan langkah kawalan oleh KKM,” kata kenyataan itu.

KKM turut memaklumkan bahawa situasi semasa COVID-19 di Malaysia kekal terkawal dan masih berada di bawah paras amaran kebangsaan hasil pemantauan berterusan serta intervensi kesihatan awam yang berkesan.

Secara kumulatif, sebanyak 21,738 kes COVID-19 dilaporkan sehingga ME24, dengan purata mingguan sekitar 900 kes.

Bagi minggu tersebut, enam kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) melibatkan individu yang mempunyai komorbiditi seperti hipertensi, diabetes, dislipidemia, penyakit jantung dan sindrom down.

“Semua kes telah menerima rawatan rapi dan dipantau oleh profesional kesihatan. Empat kes telah dibenarkan pulang ke rumah, manakala dua lagi dipindahkan ke wad biasa,” tambah KKM.

Sehubungan itu, KKM menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira usia untuk mendapatkan vaksinasi mengikut keperluan sempena Program Imunisasi Kebangsaan.

Sumber: Berita Harian

Related Posts