KKM beri kelonggaran bersyarat sementara, fasiliti kesihatan swasta dibenar ambil jururawat terlatih warga asing - The Reporter

KKM beri kelonggaran bersyarat sementara, fasiliti kesihatan swasta dibenar ambil jururawat terlatih warga asing

Sumber gambar: Berita Harian

Bermula 1 Oktober ini, kerajaan akan memberikan kelonggaran bersyarat sementara kepada fasiliti kesihatan swasta untuk mengambil Jururawat Terlatih Warga Asing (JTWA) bagi tempoh 12 bulan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata kelonggaran itu susulan langkah kerajaan mengkaji semula pengambilan JTWA seperti termaktub dalam ‘Employment Criteria for Foreign Trained Nurses In Malaysia 2018’.

“Kekurangan tenaga kerja jururawat di sektor awam dan swasta memberi kesan besar terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan secara efektif di negara ini dan perkara ini sudah lama dibangkitkan oleh pelbagai persatuan dalam rangkaian industri perubatan swasta dan ia harus segera diatasi.

“Kriteria yang sedikit mengekang berkenaan pengambilan JTWA oleh pihak swasta, seperti termaktub dalam Employment Criteria for Foreign Trained Nurses In Malaysia 2018, telah dikaji semula dan diberi kelonggaran bersyarat sementara, demi kepentingan perkhidmatan yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya.

Tertakluk kepada syarat

Bagaimanapun Dr Zaliha berkata, pengambilan terbabit tertakluk kepada syarat tertentu iaitu JTWA perlu menduduki ujian Malaysian Nursing Board Qualification Examination for Foreign Trained Nurses yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia.

Katanya, walaupun tempoh sah pengambilan JWTA hanya untuk setahun sahaja, pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan lagi berdasarkan kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) dan ia akan dinilai semula mengikut keadaan serta keperluan semasa.

“Bilangan JTWA di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti berkenaan.

“Pengambilan JTWA juga hendaklah mematuhi kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk perincian gaji dan tempoh kontrak,” katanya.

Dapat sambutan baik

Beliau berkata, keputusan kerajaan melonggarkan syarat pengambilan JWTA disambut baik industri perubatan swasta kerana berupaya membantu mengoptimum pengoperasian serta perkhidmatan mereka.

“Dengan ini, fasiliti kesihatan swasta juga akan lebih bersedia untuk menyokong Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha memenuhi keperluan kesihatan rakyat, melalui jalinan kerjasama awam-swasta.

“KKM menjangkakan langkah ini akan memberi kesan positif terhadap pelbagai sektor seperti industri pelancongan kesihatan, dan seterusnya merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Pekerja tempatan tetap diberi keutamaan

Katanya, walaupun kelonggaran diberikan untuk pengambilan JTWA, KKM tetap prihatin dan memberi keutamaan kepada kebajikan serta prospek kerjaya jururawat tempatan.

“Sehubungan itu, KKM akan melaksanakan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta secara berfasa bagi tahun 2024 dan 2025.

“Langkah ini diambil untuk mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan akan memastikan peluang pekerjaan jururawat tempatan terpelihara,” katanya.

Ramai yang berhijrah

Namun begitu, menerusi satu laporan menyatakan satu agensi yang menguruskan kemasukan pekerja ke luar negara mendedahkan pihaknya menerima sehingga 50 permohonan sebulan dari jururawat yang ingin berhijrah.

Laporan itu turut mendedahkan situasi itu mula ketara sejak Peritah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 2021.

Sumber: Harian Metro, Kosmo

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!