Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pemimpin diktaktor Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan telah menggerakkan sokongan terhadap Palestin susulan peperangan Israel dengan kumpulan pejuang Hamas (Palestin), menurut agensi perisikan Korea Selatan.
Dalam audit 2023 oleh Perhimpunan Kebangsaan yang diadakan pada Rabu lalu, pengarah Agensi Perisikan Kebangsaan, Kim Kyou-hyun memberitahu bahawa, Kim dipercayai telah mengarahkan pelbagai sokongan kepada Palestin, dalam usaha untuk mendapatkan ‘keuntungan’ daripada peperangan itu.
Kenyataan Ketua Perkhidmatan Perisik Korea Selatan yang dipetik oleh Ahli Dewan, Yoo Sang-bum, setiausaha eksekutif bagi jawatankuasa perisikan Dewan memberitahu bahawa Korea Utara berkemungkinan terlibat dalam perdagangan senjata dengan kumpulan pejuang Hamas.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, Rusia dilaporkan telah menyediakan teknologi yang boleh meningkatkan peluang Korea Utara untuk menjayakan pelancaran satelit pengintip, berikutan dua percubaan yang dibuat pada awal tahun ini, menemui kegagalan.
Untuk itu, Korea Utara telah membekalkan senjata kepada Rusia sebagai balasan untuk membantu peperangan Rusia menentang Ukraine. Penghantaran peluru artileri dan senjata lain dilakukan menerusi laluan laut sejak Ogos lalu.
Difahamkan, jumlah simpanan artileri Korea Utara yang dihantar ke Rusia dianggarkan cukup untuk bertahan sekurang-kurangnya dua bulan dalam peperangan di Ukraine.
Korea Utara telah mengendalikan kilangnya di seluruh negara dengan kapasiti penuh untuk terus menyediakan senjata kepada Rusia.
Sumber: Korea Herald