Khazanah Nasional batal majlis rumah terbuka Aidilfitri, hormati pemergian Tun Abdullah | The Reporter

Khazanah Nasional batal majlis rumah terbuka Aidilfitri, hormati pemergian Tun Abdullah

Khazanah batal majlis rumah terbuka
Sumber Gambar: FB Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad hari ini memaklumkan bahawa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 anjuran syarikat berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada hari ini telah dibatalkan sebagai tanda penghormatan atas pemergian mantan Perdana Menteri kelima Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga merupakan bekas Pengerusi Khazanah.

“Seiring dengan suasana duka yang menyelubungi negara atas pemergian Perdana Menteri ke-5 Malaysia dan mantan Pengerusi Khazanah, YABhg Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Khazanah Nasional Berhad dengan rasa dukacita memaklumkan bahawa Rumah Terbuka Aidilfitri Khazanah 2025 yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 15 April 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur telah dibatalkan,” tulis kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, Khazanah turut menyampaikan doa dan penghormatan terakhir kepada Allahyarham YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi, serta mengucapkan setulus takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

“Doa kami mengiringi Tun Abdullah selain ucapan takziah untuk keluarga Allahyarham,” katanya.

Pihak Khazanah turut menghargai segala bentuk sokongan dan pemahaman yang diberikan oleh semua pihak terhadap keputusan ini.

Terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN). Pemergian beliau dirasai oleh segenap lapisan masyarakat yang mengenang jasa dan sumbangan beliau sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara.

Related Posts