Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tindakan blogger sensasi, Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, memuat naik kenyataan fitnah membawa kepada tindakan saman oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi oleh Razarudin yang menamakan Papagomo sebagai defendan atas dakwaan fitnah lisan dan bertulis yang menyentuh integriti beliau. Papagomo sebelum ini didakwa melabelkan Razarudin sebagai “pelacur banduan terhormat” dan “penjilat” kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peguam Razarudin, Raam Kumar, memaklumkan bahawa notis saman itu telah diserahkan kepada Papagomo dan antara tuntutan yang dibuat adalah ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi khas, serta perintah injunksi untuk menghalang sebarang kenyataan fitnah daripada diterbitkan semula.
“Plaintif juga menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan, pekerja atau mana-mana pihak lain daripada terus mengeluarkan kenyataan yang dianggap fitnah,” jelas Raam Kumar.
Ketika diminta mengulas, Razarudin mengesahkan tindakan saman berkenaan namun enggan memberikan komen lanjut.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap kenyataan Papagomo yang dimuat naik dalam satu klip video. Keterangan Papagomo telah dirakam di Balai Polis Setapak pada 19 Disember lalu.
Kes ini disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sumber: Harian Metro








