Kerjasama Bukit Aman, FBI berjaya cekup lelaki tempatan miliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak - The Reporter

Kerjasama Bukit Aman, FBI berjaya cekup lelaki tempatan miliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak

Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas didapati memiliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer milik suspek. Lelaki tersebut ditahan dalam serbuan di rumahnya di Klang, Selangor pada Selasa lalu.

Melalui siaran media, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, serbuan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek berusia 39 tahun itu mendapati terdapat sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer milik lelaki berkenaan

“Susulan itu, pihak polis merampas komputer, cakera keras luaran, penghala (router) dan telefon bimbit milik suspek dalam serbuan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Noorsiah berkata, siasatan mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak terbabit serta memuat turun bahan pornografi kanak-kanak menggunakan media sosial.

“Kejayaan tangkapan ini adalah hasil kerjasama antara PDRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 17 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” katanya.

Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa-mangsa yang terbabit dalam kes itu.

Sumber: Mohd Redzuan Abdul Manap

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!