Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thotham menyeru rakyatnya yang bekerja di Malaysia untuk pulang dan menggunakan peluang pekerjaan yang kini tersedia di negara itu.
Menurut beliau, sebelum ini ramai rakyat Thailand, terutamanya dari wilayah selatan seperti Narathiwat, Yala, dan Pattani, berhijrah ke Malaysia untuk bekerja. Kebanyakan mereka terlibat dalam sektor perladangan, pembinaan, serta bekerja di restoran sebagai tukang masak atau pelayan kerana tawaran gaji yang lebih tinggi.
Namun katanya, dengan pemulihan ekonomi di negara itu, kerajaan Thailand berharap agar mereka kembali untuk membangunkan negara sendiri.
Trakul turut menyatakan bahawa kerajaan Thailand kini menyediakan pelbagai bentuk sokongan untuk menarik rakyatnya pulang. Antara sektor yang diberi tumpuan termasuk sektor pertanian seperti penanaman padi, durian, dan getah.
Selain itu, kerajaan juga memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan keamanan untuk memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Walaupun tawaran gaji mungkin tidak setinggi di Malaysia, kami yakin dengan bantuan kerajaan, mereka mampu hidup selesa di Thailand,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian








