Kerajaan tarik balik bantuan STR & SARA selepas lelaki ini kantoi miliki enam hartanah | The Reporter

Kerajaan tarik balik bantuan STR & SARA selepas lelaki ini kantoi miliki enam hartanah

Penerima STR dan SARA disiasat selepas kantoi memiliki enam hartanah sewaan walaupun menerima bantuan kerajaan.
Perkongsian di media sosial bertukar jadi isu kelayakan apabila penerima STR dan SARA kantoi miliki enam hartanah.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pengakuan seorang lelaki menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM1,900 setahun mencetuskan perhatian ramai selepas beliau turut mendedahkan memiliki enam buah rumah sewaan.

Susulan pendedahan yang tular di media sosial itu, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) memaklumkan kelayakan bantuan lelaki berkenaan telah ditarik balik sepenuhnya selepas siasatan lanjut dijalankan.

Menurut MoF, siasatan mendapati pemilikan enam hartanah sewaan yang didakwa lelaki berkenaan adalah benar, berdasarkan rekod pindah milik dalam sistem e-Duti Setem milik Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Hartanah tersebut didaftarkan atas nama penerima dan pasangannya.

Baca juga:

Sehubungan itu, lelaki berkenaan kini disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana disyaki gagal mengisytiharkan pendapatan sewaan, walaupun menerima bantuan kerajaan yang diperuntukkan kepada golongan berpendapatan rendah.

Terdahulu, hantaran lelaki itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat, dengan ramai mempersoalkan bagaimana penerima bantuan masih layak walaupun memiliki aset hartanah yang banyak. Ia turut mendorong gesaan supaya pemilikan hartanah dijadikan salah satu kriteria utama kelayakan bantuan kerajaan.

MoF sebelum ini menegaskan semua pemohon bantuan kerajaan wajib mengemukakan maklumat yang tepat dan benar. Sekiranya didapati terdapat maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil dan bantuan yang diluluskan boleh ditarik balik.

Sumber: Buletin TV3

Related Posts