Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Langkah menghentikan penggunaan beg plastik sekali guna di seluruh negara mungkin akan dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) seawal 2026.
Menteri NRES, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beberapa negeri, termasuk Negeri Sembilan, Pulau Pinang, dan Kota Kinabalu di Sabah, sudah mula mengambil langkah tersebut. Wilayah Persekutuan pula lebih menggalakkan penggunaan beg plastik biodegradasi bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
“Kementerian sedang mempertimbangkan tiada lagi pemberian beg plastik sekali guna seawal 2026 (atau lebih awal) di seluruh Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, kementerian telah mendapat sambutan positif daripada sesi libat urus dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sembilan negeri. Sesi libat urus akan diteruskan di negeri lain seperti Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, dan Sabah.
Penjelasan ini dikongsikan melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen sebagai respons kepada soalan daripada Datuk Dr Ku Abd Rahman (PN-Kubang Pasu), yang ingin mengetahui perkembangan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik 2018-2030 dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik 2021-2030.
Nik Nazmi yakin, melalui kempen dan kerjasama dengan pelbagai pihak, pelestarian penggunaan plastik akan dapat dicapai. Kementerian akan meneruskan kolaborasi dengan industri dan NGO bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
Pada masa sama, usaha memperkukuhkan pengurusan plastik dan mengatasi pencemaran sisa plastik di ekosistem marin akan terus diberi perhatian.
Sumber: Berita Harian








