Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan membelanjakan RM44 juta bagi menampung 236 lawatan rasmi menteri ke luar negara sepanjang tahun lalu, termasuk untuk menghadiri mesyuarat berkala dengan organisasi antarabangsa yang dianggotai Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, berkata lawatan tersebut melibatkan kehadiran dalam mesyuarat penting seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8).
“Kehadiran menteri dalam mesyuarat ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan diplomatik serta peranan negara di peringkat global. Selain itu, lawatan ini juga sebahagian daripada usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) untuk merancakkan ekonomi negara,” katanya.
Dr. Zaliha berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta perincian mengenai kekerapan dan kos lawatan luar negara setiap menteri sepanjang 2024.
Menurutnya, setiap lawatan mematuhi garis panduan kewangan kerajaan dan dilakukan dengan pendekatan berhemah bagi memastikan nilai tambah yang maksimum.
“Perbelanjaan ini dirancang dengan teliti supaya setiap lawatan membawa manfaat yang jelas, selaras dengan langkah penjimatan kerajaan,” jelasnya.
Sumber: Free Malaysia Today, Utusan Malaysia








