Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang peniaga tempatan dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa tempatan. Insiden ini mencetuskan kontroversi apabila peniaga tersebut mendakwa beberapa anggota penguatkuasa meminta ‘duit kopi’ dan melindungi kedai milik warga asing.
Dalam video tersebut, peniaga yang dikenakan tindakan itu mempertikaikan mengapa kedai milik warga Thailand tidak dikenakan tindakan yang sama.
“Saya orang Melayu sini bang. Abang (penguatkuasa) sekarang back up… (tidak jelas). Aku orang Melayu sini, sekarang kedai sebelah ini orang Thailand. Kenapa orang Thailand boleh senang-senang lepas, orang Melayu pula kena (tindakan)?” katanya.
Datang ke majlis, jumpa BUU
Salah seorang anggota penguatkuasa meminta peniaga itu datang ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk mendapatkan penjelasan lanjut dari pegawai di Bahagian Undang-Undang (BUU).
“Awak nak viralkan, itu awak punya pasal. Sekarang ini kami dah ambil tindakan dan ini tindakan kami. Awak tak puas hati, awak datang ke majlis dan boleh berjumpa dengan pegawai di Jabatan Undang-Undang,” katanya.
Tuduh anggota minta rasuah?
Seorang wanita yang dipercayai ahli keluarga peniaga tersebut bertanya sama ada peniaga Thailand yang disebut tadi turut dikenakan kompaun.
Dalam masa sama, dia juga mendakwa seorang anggota penguatkuasa telah menghubunginya pada jam 10 malam dan bercakap tentang ‘duit kopi’, yang merujuk kepada rasuah. Malah, dia menegaskan mempunyai bukti berhubung dakwaan tersebut.
Siapa Baharuddin?
Peniaga terbabit turut menunjukkan wajah seorang lelaki yang didakwa merupakan pemilik kedai. Namun, mereka tidak pernah melihat kelibat lelaki bernama Baharuddin itu sebelum ini.
Apabila mereka meminta Baharuddin mengeluarkan kad pengenalan bagi membuktikan dia adalah warga tempatan, lelaki tersebut tidak mengendahkan permintaan mereka.
Saksi tampil ceritakan kejadian sebenar
Sementara itu, seorang saksi yang berada di tempat kejadian tampil menjelaskan cerita sebenar.
Menurut saksi, video yang ditularkan itu tidak menggambarkan keseluruhan kejadian dan hanya mengundang kepada kemarahan orang awam kepada pihak berkuasa.
“Tengok pada video memang akan nampak PBT yang salah. Tapi kalau ada di tempat kejadian, akan tahu cerita sebenar sebab saya ada di situ pada masa kejadian. Saya makan di kedai sebelah. Jadi, siapa yang kata PBT makan rasuah la, itu la, tanggunglah (di kemudian hari).
“Orang kedai yang buat provokasi, siap ajak bertumbuk. Siap cakap, ‘Kau tunggu geng aku sampai’. Itu yang saya cakap, video tak sama dengan keadaan sebenar.
“Bab makan rasuah, saya tidak pasti. Apa yang saya nampak, kompaun yang mereka keluarkan itu adalah atas sebab kesalahan yang tuan kedai buat. Pekerja pun tak ada permit semua, itu yang saya dengar,” katanya.








