'Kenapa kerajaan pusat tak bangunkan terminal bas Kelantan?' – Senator tanya, Anthony Loke jawab | The Reporter

‘Kenapa kerajaan pusat tak bangunkan terminal bas Kelantan?’ – Senator tanya, Anthony Loke jawab

Anthony Loke menjelaskan isu terminal bas Kelantan di Dewan Negara.
Terminal Bas Kelantan | Foto: Kosmo! Online

Umum mengetahui terminal bas di Kelantan masih ketinggalan berbanding negeri lain yang mempunyai kemudahan lebih moden. Keadaan ini menimbulkan persoalan di Dewan Negara apabila Senator Dr Hajah Wan Martina Wan Yus bertanya mengapa Kerajaan Pusat tidak mengambil inisiatif untuk membangunkan terminal bas bersepadu di negeri itu.

“Adakah tanggungjawab kerajaan negeri untuk membangunkan terminal bas bersepadu? Kenapa tidak Kerajaan Pusat yang membangunkan terminal bas?

“Seperti yang kita tahu di Kelantan tak ada terminal bas bersepadu yang canggih seperti yang ada di ibu negara. Kenapa tidak kerajaan pusat yang membangunkan terminal bas bagi negeri Kelantan?” soal beliau.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan bahawa pembinaan terminal bas bersepadu memang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), bukan Kerajaan Persekutuan.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah tentunya di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk membina terminal bas bersepadu. Secara kebiasaannya dan praktisnya, kalau semua negeri kita lihat memang terminal bas bersepadu itu di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, dan dibangunkan oleh negeri terutamanya oleh pihak PBT masing-masing.

“Termasuk kawasan saya di Seremban, Negeri Sembilan pun terminal bas bukan di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan. Ia dibangunkan oleh Majlis Bandaraya Negeri Seremban, dan ada pembangunan dan pelaburan dari pihak swasta.

“Jadi untuk makluman Yang Berhormat, bukan sahaja Kelantan, semua negeri-negeri lain pun kerajaan persekutuan tak ada peruntukan untuk membina terminal bas bersepadu. Dan memang ini adalah usahasama oleh pihak kerajaan negeri dan PBT, serta ini terpakai di semua negeri,” jelasnya.

Related Posts