Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Susulan pengumuman kenaikan harga diesel, pengusaha bas terutamanya mula dalam dilema untuk memikirkan kenaikan caj tambahan atau mengekalkan harga lama.
Bagaimanapun, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pengusaha bas sekolah dan bas ekspres tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang.
Telah diberi subsidi
Katanya, pengusaha bagi kedua-dua jenis bas itu tidak terkesan dengan kenaikan bahan api tersebut kerana telah diberi subsidi diesel.
“Kenaikan kadar tambang tak sepatutnya berlaku, subsidi diesel ini terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah. Mereka tidak terkesan susulan daripada kenaikan harga diesel.
“Ini kerana, mereka sudah menerima subsidi dan tidak ada perubahan dari segi itu kerana mereka diberikan kad fleet dan harga Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 iaitu pengusaha bas ekspres dan sekolah kekal pada harga RM1.88 seliter,” katanya.
Kewajaran tindakan pengusaha bas
Sehubungan dengan itu, beliau mempersoalkan kewajaran tindakan pengusaha bas.
“Jadi apa yang mendorong mereka nak naikkan harga? Jika soal ini digunakan sebagai alasan untuk menaikkan harga tambang bas sekolah atau bas ekspres, itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Tambahnya lagi, bagi bas ekspres, kadar tambang tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia adalah di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Bagi bas sekolah pula, kita tidak kawal harganya, cuma kita galakkan perbincangan antara pengusaha bas sekolah dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Sementara itu, bagi bas persiaran, ia adalah untuk kegunaan untuk pelancongan iaitu bagi pelancong asing, bukan untuk kegunaan harian, jadi tidak ada subsidi untuk sektor pelancongan.
“Kos pelancongan di negara kita memang cukup kompetitif, mungkin ada sedikit kenaikan kos untuk pelancong asing namun saya rasa ia boleh diterima untuk pelancong asing,” katanya.
Sumber: Sinar Harian