Kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin disifatkan sebagai mencurigakan oleh pakar forensik Hospital Sungai Buloh selepas pemeriksaan bedah siasat menunjukkan kecederaan yang tidak sepadan dengan keadaan lokasi mayat ditemui.
Lapor Harian Metro, Pakar Perubatan Perunding Forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan berkata, kecederaan yang dialami Zayn termasuk kesan luka tajam di lengan dan guntingan di telinga, tidak selari dengan persekitaran kawasan sungai tempat mayat itu dijumpai.
“Kalau dia jatuh, sepatutnya hanya ada luka tumpul pada bahagian tubuh yang terdedah sahaja. Tapi kecederaan itu menunjukkan ia bukan luka akibat terjatuh atau lemas semata-mata. Malah lokasi kejadian itu tak mungkin menghasilkan kesan jerutan,” katanya semasa perbicaraan hari ini.
Menurutnya, kes itu dikategorikan sebagai ‘kematian mencurigakan atau pembunuhan sehinggalah dibuktikan sebaliknya’ berdasarkan pemerhatian di tempat kejadian dan laporan bedah siasat.
- UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU akan datang
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Catatan doa dan persiapan Haji Lisa Surihani raih perhatian
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Pegawai perubatan tak dapat jawab soalan
Ketika ditanya kenapa bedah siasat hanya dilakukan pada jam 12 tengah hari 7 Disember 2023, Dr Rohayu menjelaskan pada awalnya mayat dikategorikan sebagai mati biasa. Namun selepas diberi maklumat bahawa Zayn ialah kanak-kanak autistik, beliau mengambil keputusan untuk meninjau lokasi terlebih dahulu sebelum menjalankan bedah siasat.
“Autisme ada ciri tertentu. Kalau budak ini jenis suka air, dia mungkin pergi bermain di sungai. Tapi pegawai perubatan tak dapat jawab soalan saya berkenaan minat budak ini. Jadi saya minta mereka hubungi polis supaya saya boleh lihat tempat kejadian sendiri,” katanya.
Kecederaan tidak selari dengan tempat kejadian
Lawatan bersama pegawai penyiasat ke lokasi termasuk kawasan permainan, lorong mural dan cerun ke sungai mendapati keadaan laluan ke lokasi mayat ditemui terlalu kompleks untuk kanak-kanak autistik seperti Zayn.
“Saya buat keputusan untuk ambil kes ini sendiri kerana kecederaan yang ada tak selari dengan tempat kejadian,” katanya.
Ditanya mengenai anggaran masa kematian, beliau menjangkakan ia berlaku lebih 24 jam sebelum mayat ditemui, iaitu antara 30 November hingga 5 Disember 2023, berdasarkan tahap pembusukan yang berlaku.
Sementara itu, ibu bapa Zayn, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun, berdepan pertuduhan kerana didakwa mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai antara 5 dan 6 Disember 2023. Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh akan bersambung hari ini.








