Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan agar kes kematian melibatkan seorang kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin, diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar, berkata arahan itu diterima selepas polis membentangkan hasil siasatan kepada AGC.
“Pada 2 Disember 2025, PDRM telah mentaklimatkan hasil siasatan kes kematian berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara. Peguam Negara telah mengarahkan agar kes kematian ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang,” katanya.
Menurut beliau, polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab ke atas kematian tersebut sebelum merujuk semula kertas siasatan kepada AGC selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Kumar meminta orang ramai tidak membuat spekulasi demi menghormati prinsip keadilan jenayah.
Baca juga:
- Bekas wartawan FMT Rex Tan ditahan susulan soalan kontroversi
- Kerajaan tarik balik bantuan STR & SARA selepas lelaki ini kantoi miliki enam hartanah
- ‘Tolong beritahu Presiden kamu, kami hanya ada minyak masak’ – Komen lucu rakyat Malaysia
Terdahulu, Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai 2025 di Hospital Kota Tinggi selepas latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.
Siasatan dibuka
Pada 28 Julai 2025, satu siasatan mati mengejut telah dimulakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor atas kematian Syamsul Haris.
Kemudian, pada 27 ogos 2025, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman telah mengambil alih sepenuhnya siasatan kes ini berikutan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga si mati untuk penggalian semula dan bedah siasat kali kedua.
Bedah siasat kedua pada 30 Ogos mengesahkan punca kematian Syamsul Haris adalah kecederaan pada leher. Peguam, Datuk Naran Singh, yang menerima laporan daripada Hospital Kuala Lumpur berkata terdapat kecederaan lain termasuk kesan melecet pada tubuh.
Beliau menjelaskan bahawa gambar dan bahan patologi bedah siasat pertama menunjukkan kecederaan leher yang serius dialami ketika mangsa masih hidup. Walaupun sebahagian kecederaan kelihatan seakan berkaitan prosedur trakeostomi, jumlah kecederaan tersebut didapati lebih banyak daripada kebiasaan dan tidak menunjukkan ia berlaku selepas kematian.








