Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Semalam, tular dakwaan di laman X mengatakan beberapa pempengaruh tempatan menjadi ‘ejen’ mempromosi judi online secara terbuka di media sosial, yang menggunakan konsep upline/downline.
Lebih mengejutkan, kebanyakan pempengaruh tersebut adalah orang beragama Islam dan tanpa sebarang rasa bersalah mempromosikan judi online kepada pengikut mereka di media sosial.
Terdahulu, media hiburan turut melaporkan salah seorang pempengaruh dengan bangganya mendedahkan kepada umum kejayaannya memiliki sebuah kenderaan mewah.
Siasatan netizen mendapati, pempengaruh berkenaan disyaki terbabit dalam aktiviti judi online. Selain itu, pernah mengaku bermain judi online dan menggunakan hasil perjudian itu untuk menampung perbelanjaan hariannya.
Semakan lebih lanjut terhadap dua portal yang dipromosi oleh pempengaruh terbabit jelas sekali menunjukkan portal itu sememangnya menawarkan aktiviti perjudian secara online.
Mereka akan diminta memuat naik aplikasi judi tersebut dan mula bermain dengan meramalkan nombor kecil atau besar yang menjanjikan pulangan lumayan.
Selain itu, mereka turut diminta menyertai beberapa group di aplikasi Telegram bagi mendapatkan nombor ramalan dan bersembang bersama tahi judi yang lain.
Tidak diketahui sama ada dua portal judi online itu merupakan syarikat berdaftar atau sebaliknya berikutan carian di portal Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak menemui sebarang maklumat berkaitan.
Ada yang mendakwa, dua portal tersebut adalah tidak sah, tidak mempunyai lesen untuk beroperasi. Selain itu, sumber mendakwa pihak berkenaan mempergunakan pempengaruh untuk mempromosikan aplikasi judi online mereka.
Sumber: X