Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Keluarga Nurly Sahirah pasang tali penghadang elak tanah kubur diambil untuk tujuan khurafat.
• Pejabat Agama Besut lakukan rondaan malam pantau aktiviti tidak wajar.
• Ibu bapa arwah minta pengunjung jaga adab dan mohon ampun jika pernah ambil tanah kubur.
Pusara penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Sahirah Azman, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Besut, kini dipasang tali penghadang selepas keluarga mendapati ada pengunjung mengambil tanah kubur untuk tujuan khurafat. Langkah tegas itu diambil bagi memastikan kubur arwah tidak terus dijadikan bahan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Sejak kemalangan tragis pada 9 Jun lalu yang meragut nyawa Nurly Sahirah, pusara beliau sering menjadi tumpuan orang ramai dari pelbagai negeri. Namun, tular dakwaan ada individu membawa pulang tanah kubur dan menyapu pada muka anak mereka, selain perbuatan mencium batu nisan.
Kenapa tali penghadang dipasang di kubur Nurly Sahirah?
Abang arwah, Mohd Najmuddin Azman, berkata tindakan memasang tali itu terpaksa dilakukan selepas notis peringatan yang diletakkan sebelum ini tidak diendahkan.
“Langkah ini sebagai usaha untuk mencegah sekiranya berlaku amalan tidak baik di kawasan kubur arwah Nurly. Saya juga berpesan kepada orang ramai supaya tidak melintasi tali berkenaan, cukup sekadar berdoa dari luar kawasan tali sahaja,” katanya.
Menurutnya, rondaan akan dibuat secara berterusan bagi memastikan tiada lagi perbuatan tidak sepatutnya berlaku di kawasan perkuburan itu.
Nasihat keluarga: Hormati pusara, jangan lakukan syirik
Ibu Allahyarham, Kamariah Abdul Latif, memaklumkan keluarganya sedih dan kecewa apabila ada yang sanggup mengambil tanah kubur dan mencium batu nisan arwah.
“Kami letak tali itu sebab ada yang datang ambil tanah dan cium batu nisan. Saya nasihatkan orang ramai yang datang jagalah adab ketika berada di kubur dan elakkan perbuatan syirik dan khurafat,” katanya.
Beliau turut merayu pengunjung supaya tidak mengangkat atau menyentuh naskhah al-Quran tulisan tangan arwah yang disimpan di rumah mereka kerana ia satu-satunya kenangan berharga keluarga.
“Saya jaga supaya tidak ada yang datang membelek helaiannya, selain ada sebahagian orang pula datang serta cium al-Quran ini, jadi saya bimbang tulisannya terjejas dan tanggal. Ini sahaja kenangan yang saya ada,” katanya.
Bapa arwah: Mohon ampun jika pernah ambil tanah kubur
Bapa Allahyarham, Azman Mohamad, pula menjelaskan beliau tidak menghalang sesiapa menziarahi pusara anaknya, namun perbuatan mengambil tanah kubur adalah satu kesalahan besar.
“Saya tidak pasti (dakwaan ambil tanah kubur) kerana kebanyakan masa dia berada di rumah. Namun, sekiranya ada individu berkenaan berbuat demikian perlu minta maaf serta mohon ampun dengan Allah.
“Tindakan mengambil tanah kubur untuk dijadikan sebagai azimat bertentangan dengan ajaran Islam kerana boleh mendatangkan khurafat serta syirik dan berdosa besar. Cukup sekadar sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah tidak perlu melakukan perkara tidak sepatutnya,” katanya.
Katanya lagi, Pejabat Agama Daerah Besut juga sudah mengambil langkah membuat rondaan malam bagi memastikan keadaan terkawal. Sekiranya perbuatan itu masih berlaku, tidak mustahil kawasan tanah perkuburan akan dikunci.
“Jumlah pengunjung setiap hari sangat ramai… kadang-kadang tidak terlayan semua orang. Saya mewakili pihak keluarga mohon maaf sekiranya berlaku sebarang kekurangan,” ujarnya.
Sumber: Harian Metro








