Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Misteri kehilangan seorang lelaki terungkai apabila penemuan serpihan baju, kasut dan cebisan tulang milik mangsa yang dipercayai terjatuh dalam mesin memproses sawit di sebuah kilang di Jenjarom.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, lelaki warga tempatan itu merupakan seorang operator kilang.
Ketika kejadian, mangsa keluar rehat pada jam 1 petang dan masuk semula kira-kira jam 1.50 petang manakala rakan sekerja mangsa yang lain keluar rehat kira-kira jam 2 petang sebelum masuk semula kira-kira jam 2.30 petang.
Rakan sekerja mangsa bagaimanapun mendapati mangsa tiada di lokasi manakala mesin memproses di situ beroperasi tanpa operator bertugas. Dia kemudiannya memaklumkan kepada pengurus kilang
sebelum mereka bersama-sama mencari mangsa di sekitar kawasan terbabit.
“Mereka kemudiannya menemui kasut, serpihan baju dan cebisan tulang manusia pada jam 5.57 petang di atas timbunan serat sawit pada bahagian hujung mesin berkenaan,” katanya.
Siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin memproses tandan sawit itu ketika mengendalikannya.
“Siasatan turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan berkaitan kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
Sumber: Sinar Harian








