Kebakaran misteri terjawab, dendam jadi punca lelaki bakar 9 buah rumah di Kupang | The Reporter

Kebakaran misteri terjawab, dendam jadi punca lelaki bakar 9 buah rumah di Kupang

Sumber Gambar: FB Rose Syidah Hamzah

Penduduk di Kupang, Baling akhirnya lega apabila kes kebakaran misteri yang berlaku sejak Disember lalu terungkai apabila polis berjaya menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata suspek, seorang lelaki berusia 23 tahun, yang merupakan seorang penganggur telah ditahan pada pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu.

Menurut Fisol, siasatan mendapati motif tindakan suspek dipercayai berpunca daripada perasaan dendam dan bertindak membakar sembilan rumah di sekitar Kupang dari hujung bulan lalu sehingga awal bulan ini.

Suspek yang juga merupakan penduduk di kawasan tersebut dikatakan telah menyimpan perasaan marah kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini.

Difahamkan, suspek juga telah dipulaukan oleh penduduk setempat, dan sebahagian mangsa yang terlibat mengenali suspek secara peribadi.

Tambah Fisol, Modus operandi suspek adalah dengan mencurahkan petrol ke atas motosikal lalu membakarnya sebelum ia merebak ke rumah penduduk.

Kebakaran sembilan rumah dipercayai berlaku antara 2 pagi hingga 5 pagi, menyebabkan dua kenderaan dan 18 motosikal terbakar, dengan kerugian sebanyak RM770,000.

Suspek direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Terdahulu, penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kupang, resah memikirkan misteri kebakaran yang didakwa berlaku secara berturut-turut di sembilan lokasi sejak hujung bulan lalu sehingga menyebabkan beberapa buah kereta dan rumah musnah.

Sumber: Harian Metro

Related Posts