'Kau kecewakan aku bro' - Salah dikecam selepas kongsi gambar keluarga depan pokok Krismas | The Reporter

‘Kau kecewakan aku bro’ – Salah dikecam selepas kongsi gambar keluarga depan pokok Krismas

Salah dikecam netizen

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bintang Liverpool, Mohamed Salah, sekali lagi menjadi perhatian selepas memuat naik gambar bersama isteri dan anak-anaknya di hadapan pokok Krismas, yang mencetuskan perdebatan di kalangan peminat Muslim di media sosial.

Dalam hantaran tersebut, Salah menulis kapsyen ringkas, “#MerryChristmas”. Bersama isterinya, Magi, serta anak-anak mereka, Makka dan Kayan, mereka sekeluarga berpakaian sedondon sambil tersenyum di hadapan pokok Krismas.

Meskipun Krismas bukan tradisi yang disambut oleh umat Islam, sesetengah individu Muslim turut mengambil bahagian dalam perayaan berunsur kebudayaan. Namun, tindakan Salah menerima kritikan daripada sebahagian peminat yang beranggapan ia bercanggahan dengan ajaran Islam.

Seorang pengguna Instagram menulis, “Kau mengecewakan aku, bro”. Sementara itu, komen lain menyebut, “Padamkan sekarang juga”, dan ada yang meluahkan kekecewaan dengan berkata, “Aku rasa sangat kecewa dengan kau, bro”.

Bagaimanapun, ramai juga yang tampil mempertahankan Salah. “Merry Christmas, Mo. Abaikan saja semua komen tak masuk akal ni. Semoga kau dan keluarga dapat menikmati musim cuti ini,” kata seorang peminat. Seorang lagi peminat menambah, “Tiap tahun, komen kat post ni memang hiburan. Tak pernah mengecewakan.”

Selain isu ini, Salah kekal mempamerkan prestasi cemerlang musim ini dengan menjaringkan 15 gol dan mencatatkan 11 bantuan gol, menjadikannya calon utama untuk anugerah kasut emas.

Walaupun fokusnya terhadap bola sepak kekal kukuh, kontrak Salah bersama Liverpool yang bakal tamat pada penghujung musim ini turut mencetuskan persoalan. Ketika ditemubual pada November lalu, beliau menyatakan masih belum menerima tawaran untuk kekal bersama kelab tersebut.

“Saya lebih banyak cenderung untuk keluar daripada kekal. Tetapi, saya sayangkan kelab dan peminat,” katanya.

Kini, pihak Liverpool telah mengemukakan tawaran baharu, tetapi perjanjian muktamad antara kedua-dua pihak masih belum dicapai. – Agensi

Related Posts