Kanak-kanak tujuh tahun maut, motosikal dirempuh BMW di Lebuhraya Bukit Jalil | The Reporter

Kanak-kanak tujuh tahun maut, motosikal dirempuh BMW di Lebuhraya Bukit Jalil

kanak-kanak maut

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun disahkan maut selepas motosikal yang dinaiki bersama ibu bapanya dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta BMW di Lebuhraya Bukit Jalil pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.50 malam ketika tiga beranak itu menaiki motosikal Honda Beat.

“Ketika kejadian, motosikal yang dinaiki mereka dirempuh dari belakang, menyebabkan penunggang, pembonceng, serta kanak-kanak terbabit terjatuh ke atas jalan raya.

“Ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh orang awam, namun anak mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Insiden itu turut dirakam dalam sebuah video kamera papan pemuka berdurasi 29 saat yang tular di media sosial. Rakaman tersebut menunjukkan motosikal terbabit dirempuh oleh kereta BMW, menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan.

Pemandu kereta itu dilihat terus memecut meninggalkan lokasi kejadian.

Menurut Mohd Zamzuri, pemandu kereta BMW terbabit, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun, telah tampil membuat laporan di Balai Trafik Kuala Lumpur pada hari kejadian.

Lelaki itu kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Related Posts