Kanak-Kanak maut disyaki digigit anjing liar di Sungai Buloh | The Reporter

Kanak-Kanak maut disyaki digigit anjing liar di Sungai Buloh

Seorang kanak-kanak maut disyakit digigit anjing liar.
Gambar: The Star

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan maut dipercayai akibat digigit beberapa ekor anjing liar dalam kejadian menyayat hati yang berlaku di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, Selasa lalu.

Insiden itu disedari oleh ibu bapa mangsa kira-kira jam 8.15 pagi ketika mereka pulang dari tempat kerja dan mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka. Mereka kemudiannya menemui mayat anak mereka terbaring tidak sedarkan diri kira-kira 20 meter dari kediaman.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa segera dibawa ke Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh.

“Mangsa yang tiba di hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri telah diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada sebarang tindak balas dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.14 pagi oleh pegawai perubatan,” katanya.

Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat beberapa kesan luka dan calar termasuk di bahagian kepala. Mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Baca juga:

Difahamkan, semasa kejadian, mangsa ditinggalkan bersama bapa saudaranya di rumah sementara ibu bapanya keluar bekerja.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa dan bapa saudaranya sedang tidur di ruang tamu. Bapa saudaranya hanya menyedari kehilangan kanak-kanak itu selepas mendengar jeritan ibu bapa mangsa dan mendapati pintu rumah terbuka,” ujar beliau.

Menurut laporan diterima, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts