Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki di Ohio, Amerika Syarikat, ditahan selepas didakwa menghentak seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan ke lantai sehingga menyebabkan kematian. Mangsa, Vivian Gardner, meninggal dunia dua minggu selepas kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Menurut laporan polis, kejadian berlaku pada 5 Disember apabila suspek, Michael Mayor, 34, ditinggalkan bersama Vivian oleh seorang pengasuh yang keluar menghantar kanak-kanak lain ke sekolah. Apabila pengasuh kembali, Vivian didapati pucat, mempunyai lebam di kepala, dan tidak sedarkan diri.
Mayor mengaku kepada polis bahawa dia bertindak menggoncang dan menghentak Vivian ke lantai berulang kali kerana mangsa tidak berhenti menangis semasa cuba ditidurkan. Dia menyangka mangsa telah tertidur selepas kejadian tersebut dan meninggalkannya di lantai bilik.
Vivian dikejarkan ke Hospital Kanak-Kanak Dayton selepas kejadian. Doktor mengesahkan mangsa mengalami retak tengkorak di bahagian belakang kepala serta kecederaan dalaman lain akibat hentakan kuat, termasuk hematoma subdural, iaitu pengumpulan darah di antara selaput otak dan permukaan otak.
Kanak-kanak itu akhirnya meninggal dunia pada 19 Disember. Suspek kini ditahan di Penjara Miami County dengan ikat jamin sebanyak $1 juta sementara menunggu perbicaraan lanjut. – Agensi








