Bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang parah dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di Bachok merayu orang ramai agar mendoakan kesembuhan anaknya yang kini dalam keadaan kritikal.
Dalam satu hantaran di Facebook, dia turut memuatnaik keadaan terkini anaknya, Muhammad Ammar.
“Assalamualaikum sahabat-sahabat. Ini anak saya yang dipukul di Jelawat, Bachok. Mohon jasa baik semua untuk doakan anak sulung saya dipermudahkan segala urusan.
“Keadaan kritikal, pendarahan di bahagian kepala tak henti. Mudah-mudahan doa dari sahabat semua menjadi satu keajaiban buat anak saya,” katanya.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Khamis, mangsa dipercayai dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di sebuah rumah kedai di Jalan Kedai Jelawat hingga mengalami kecederaan serius di bahagian kepala. Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Suspek yang berusia 46 tahun itu kemudiannya ditemui meninggal dunia berhampiran kawasan Pantai Melawi, Bachok. Mayat suspek ditemui tidak bernyawa di kawasan pokok rhu, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.








