Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
JOHOR BAHRU – Susulan viral seorang individu bernama Julian Abd Razak mendakwa tiga beradik ditinggalkan ibu bapanya dalam keadaan tidak terurus dan bergelumangan dengan najis, ibu kepada kanak-kanak berkenaan tampil memberi penjelasan dan menceritakan apa sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian.
Menurut Lyka atau nama sebenar, Serley Ranius @ Siti Zulaikha Abdullah, berkata, mereka telah dianiaya oleh Julian Abd Razak. Ini kerana sebelum insiden itu berlaku, Julian telah menawarkan dirinya untuk membantu menjaga tiga beradik berkenaan, sementara Siti Zulaikha dan suaminya menghadiri kursus di kilang tempat mereka bekerja.
DI BAWAH, PENJELASAN PENUH DARI SITI ZULAIKHA ABDULLAH
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Susulan berita tiga beradik diabaikan yang telah viral di laman sosial baru-baru ini, mereka adalah anak saya. Saya ingin menjelaskan di sini, selaku ibu kepada anak-anak saya ini.
Kami dimaklumkan bahawa anak-anak kami sudah dibawa oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan masa ini saya langsung tidak tahu tentang viral ini. Saya bertanya, kenapa mereka tidak menelefon kami terlebih dahulu. Tuan rumah berkata, mereka ada cuba menghubungi kami tetapi tidak dapat. Sedangkan telefon saya tidak terpadam dan langsung tiada notifikasi yang menyatakan ada panggilan yang tidak dijawab dari mereka.
Di sini saya ingin tegaskan bahawa, kapsyen yang ditulis adalah tidak benar sama sekali dan sudah ada yang menafikan perkara ini. Kami menyediakan nasi yang betul, bukannya kerak nasi dan tiada najis di atas tilam. Mengenai anak lelaki saya yang tidak berbaju, saya sebagai ibu lebih mengenali anak saya dari orang lain. Anak saya tidak suka dipakaikan baju apabila berada di rumah. Dia akan menangis dan meminta untuk dibukakan.
Soal penjagaan serahkan kepada keluarga saya di sabah dan keluarga suami di Melaka. Kami tidak hantar ke Melaka disebabkan suami ada sedikit perselisihan faham antara adik-beradik. Tambahan pula ibu kepada suami saya sudah tua dan tidak sihat.
Di awal viral berita keadaan tiga beradik ini, tidak sampai 24 jam status yang dimuat naik oleh Julian Abd Razak viral di media sosial, individu berkenaan telah pun memadamkan video, gambar dan status tersebut sebelum memuat naik gambar yang menunjukkan tiga beradik berkenaan telah diselamatkan oleh JKM.
Dalam soal jawabnya bersama rakan-rakan Facebook yang lain juga mendakwa ibu bapa tiga beradik berkenaan bukan kali pertama meninggalkan anak mereka seperti itu. Malah Julian juga berharap agar pasangan itu mendapat pengajaran.
Berita mengenai tiga beradik itu kemudian mendapat perhatian beberapa media tempatan, yang kemudian turut menarik perhatian pihak berkuasa yang tegas mahu menyiasat perkara itu berdasarkan segala maklumat yang tersebar di media sosial.
Sehingga kini, akaun Facebook Julian Abd Razak tidak dapat dikesan dan dipercayai telah dipadamkan.












