Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang bayi perempuan berusia empat bulan dilaporkan patah paha kanan, disyaki dianiaya oleh pengasuhnya pada jam 5.45 petang, 15 November lalu.
Bapa mangsa, Faridzuwan Kamaruddin berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa Nur Qaseh Neliya, di Balai Polis Dengkil.
Menurut Faridzuwan, pada hari kejadian dia telah dihubungi oleh pengasuh berusia 25 tahun yang memaklumkan kaki anaknya patah ketika menggeliat.
Pasangan suami isteri berkenaan kemudian bergegas mengambil mangsa lalu dibawa ke sebuah hospital pakar di Bandar Baru Bangi.
Pemeriksaan mendapati, kaki mangsa patah bukan disebabkan menggeliat mahupun terjatuh, sebaliknya dipercayai dipulas dengan sengaja. Mangsa terus dirujuk ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.
Doktor di Hospital Serdang turut memaklumkan kecederaan mungkin disebabkan perbuatan yang sama dan mempunyai unsur penderaan.
Walaupun mangsa telah dibenarkan keluar daripada hospital pada Jumaat lalu, keadaannya kini dikatakan kurang aktif disebabkan kecederaan yang dialami.
Kesal dengan kejadian yang menimpa anaknya, Faridzuwan nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh berkenaan.
Sebelum ini, mangsa juga pernah mengalami lebam di pipi dan pengasuh yang sama memberi alasan terkena gelangnya semasa dipangku.
Namun ketika mendapatkan rawatan di klinik, doktor mengatakan kesan lebam itu bukan disebabkan terkena gelang, sebaliknya ia seperti ditekan. Tiada laporan polis yang dibuat ketika itu.
Sumber: Kosmo! Online