Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kelmarin para pengikut setia Abang Bas menyuarakan hasrat untuk membuat kutipan derma bagi membantu membayar ikat jamin berjumlah RM30,000 selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan.
Semalam, kakak kepada tertuduh, Zarina Sari, pula membuka tabung bagi tujuan yang sama dengan harapan dapat membantu adik lelaki bongsunya itu yang berdepan dengan tindakan undang-undang.
“Assalamualaikum saudara Islam yang banyak memberi sokongan dan respon positif pada Abang Bas dan keluarga. Syukur ke hadrat Illahi masih ada yang sayang.
“Sekali lagi kami merendah diri membuka tabung seikhlas hati atas dasar perikemanusiaan dan keharmonian, dari mata dan sisi Allah yang tidak pernah tidur untuk diri ini mendapatkan keyakinan.
“Terima kasih warga media sosial yang banyak memberi nasihat, komen-komen positif, kata-kata semangat untuk membuka ‘Tabung Abang Bas’ sebagai tiket saham akhirat mereka,” katanya menerima hantaran di Facebook, petang semalam.
Dalam hantaran itu, Zarina turut mendoakan adiknya diberi kekuatan untuk menghadapi segala ujian yang melanda.
Difahamkan, Zarina turut membuat laporan polis selepas mendapat kritikan daripada netizen yang mendakwa tindakannya membuat kutipan tanpa kelulusan itu adalah salah di sisi undang-undang.

Berdasarkan laporan itu, Zarina menjelaskan dia telah menghubungi pihak Am Bank yang kemudian memberitahu dia berhak membuat kutipan tersebut kerana akaun yang digunakan itu merupakan akaun persendirian.
Terdahulu, pemandu bas berusia 24 tahun tersebut dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan di dalam bas sekolah. Tertuduh menangis ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dan memilih untuk mengaku tidak bersalah.








