Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tindakan usahawan terkenal Haliza Maysuri menempah kain kafan berjenama pada harga RM999 mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen, selepas beliau berkongsi sendiri perkara itu di media sosial sebagai satu bentuk persediaan menghadapi kematian.
Haliza menjelaskan, keputusan tersebut dibuat selari dengan gaya hidupnya yang sinonim dengan dunia fesyen dan barangan mewah, selain berfungsi sebagai peringatan diri tentang kematian dan kehidupan di alam akhirat.
Tempahan sebagai ‘wasiat’ peribadi
Menurut Haliza, tempahan kain kafan itu dianggap sebagai satu wasiat peribadi sekiranya beliau meninggal dunia kelak.
“Selalu saya tempah busana dunia harga ratusan ribu, selalu dikecam. Mati nanti pakai kain kafan sahaja.
“Hari ini, saya tempah pakaian alam kubur,” katanya.
Beliau turut menegaskan pemilihan kain kafan berkenaan bukan bertujuan menunjuk-nunjuk, sebaliknya melambangkan keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat.
Baca juga:
- ‘Kepada Khairul Aming, saya buat…’ – 30 hari 30 resepi KA
- ‘Saya letih dengan dunia penuh fitnah’ – Prince Syed dedah akaun digodam
- Pempengaruh media sosial didakwa rogol, amang seksual terhadap dua remaja
“Pakaian dunia saya berjenama, akhirat pun kenalah yang terbaik dan berjenama. Barulah seimbang dunia dan akhirat,” ujarnya.
Difahamkan, kain kafan tersebut ditempah khas daripada pereka fesyen terkenal Rizalman Ibrahim, dengan harga sekitar RM999 bagi setiap set.
Mufti tampil beri teguran
Perkongsian itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi netizen, termasuk pandangan yang menyokong sebagai peringatan kematian, serta kritikan yang menganggap persediaan akhirat tidak wajar diukur berdasarkan jenama dan harga.
Susulan polemik tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil tampil memberikan penjelasan berhubung konsep mizan atau timbangan amalan dalam Islam.
Menurut beliau, menempah kain kafan itu sendiri tidak dihukum haram, namun penekanan terhadap jenama dan harga dalam konteks kematian boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Mufti menegaskan bahawa apa yang menjadi timbangan ketika seseorang meninggal dunia bukanlah nilai material, sebaliknya amalan soleh sepanjang hayat, selain menasihatkan agar mesej berkaitan kematian disampaikan dengan lebih berhati-hati.








