Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita meminta jasa baik orang ramai untuk mengesan kehilangan suaminya yang sudah 10 hari tidak pulang ke rumah.
Suaminya yang merupakan seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Panji, Kota Bharu hilang selepas keluar bekerja sejak lebih seminggu lalu.
Nurul Ain berkata, 16 Ogos lalu suaminya memaklumkan perlu keluar bekerja di luar kawasan dan akan pulang selepas menyelesaikan tugasan dalam tempoh dua atau tiga hari.
Katanya, telefon bimbit suaminya juga tidak dapat dihubungi.
Kali terakhir suaminya, Faizal dilihat keluar menunggang motosikal Ego Avantiz bernombor plat DDU4787 dengan memakai baju uniform JPS dan tshirt berwarna hitam.
Menerusi hantaran di Facebook juga, lokasi terakhir Faizal diketahui di Istana Balai Besar Kelantan.
“Saya tak dapat pastikan tempat dia bekerja tetapi dikatakan di daerah ini sahaja, namun kini sudah 10 hari dia tidak pulang dan telefon bimbitnya pula tidak dapat dihubungi.
“Kalau dia terbaca ini, saya nak beritahu, tolonglah balik, saya, anak kita dan mama awak rindukan awak, baliklah, semua keluarga kita menunggu kepulangan awak,” katanya.
Dalam laporan Sinar Harian juga menyebut, Nurul Ain yang sedang sarat mengandung enam bulan menyatakan tiada perselisihan faham berlaku antara mereka dan menyifatkan suaminya seorang bapa yang penyayang.








