Jururawat dakwa telah dirogol doktor dengan bantuan 2 staff lain | The Reporter

Jururawat dakwa telah dirogol doktor dengan bantuan 2 staff lain

Gambar hiasan

Seorang jururawat berusia 20 tahun yang bertugas pada syif malam di sebuah hospital swasta di Moradabad, Uttar Pradesh, India, mendakwa dia telah dirogol oleh seorang doktor dengan bantuan dua lagi kakitangan. 

Insiden ini telah mengejutkan masyarakat dan menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan dan akauntabiliti di kemudahan kesihatan.

Jururawat tersebut, yang merupakan seorang Dalit, dilaporkan sedang bertugas pada syif malam ketika jenayah itu berlaku. 

Dalit adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada golongan yang berada di lapisan terendah dalam sistem kasta Hindu di India. Mereka sering menghadapi diskriminasi dan keganasan daripada golongan kasta yang lebih tinggi. 

Menurut keterangan mangsa, pembantu wad, Junaid, pada mulanya meminta dia pergi ke bilik doktor. Apabila dia enggan, seorang lagi kakitangan, Mehnaz, memaksanya masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu dari luar. 

Di situlah Dr. Mohd Shahnawaz telah merogolnya. Doktor terbabit kemudian mengugutnya untuk berdiam diri dan menawarkan wang untuk menutup mulut.

Mangsa tidak dibenarkan meninggalkan hospital sehingga keesokan paginya, 15 Ogos 2024. 

Setelah pulang ke rumah, mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada keluarganya, yang kemudian menemaninya ke balai polis untuk membuat laporan. Bertindak di atas maklumat, polis telah menahan ketiga-tiga suspek dan menutup hospital untuk mengumpul bukti.

Suspek telah didakwa di bawah pelbagai seksyen Kanun Keseksaan India, termasuk konspirasi jenayah, rogol, penahanan salah dan di bawah Akta SC/ST kerana status Dalit mangsa.

Polis telah memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan tiada siapa yang terlibat akan terlepas. – Agensi

Related Posts