Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perbicaraan kes kematian Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun terus mencuri tumpuan apabila Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu mengenai beberapa perbualan WhatsApp yang mencurigakan, termasuk mesej ‘rasa macam nak bunuh orang’, yang dihantar hampir enam bulan sebelum kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia di anak sungai, Damansara Damai.
Perkara itu didedahkan oleh Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik PDRM, Asisten Superintenden Mohd Zaidi Abu Hassan, yang memberitahu mahkamah terdapat juga mesej lain seperti ‘aku nak rehat pun tak leh’ dan ‘belasah je sampai puas’, dipercayai dihantar pada 20 Jun 2023 menerusi aplikasi WhatsApp.
iCloud berdaftar atas nama Ismanira
Kandungan mesej itu dikaitkan dengan dua telefon bimbit dan dua kad SIM yang telah dirampas. Ia melibatkan akaun iCloud berdaftar atas nama Ismanira Abdul Manaf dan akaun Google milik Zaim Ikhwan Zahari. Kedua-duanya merupakan ibu bapa kepada Zayn dan kini sedang dibicarakan atas tuduhan mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- ‘Kesilapan saya sebab terlalu percayakan orang’ – Azar Azmi
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Mohd Zaidi turut mendedahkan bahawa pada hari kehilangan Zayn, iaitu 5 Disember 2023, terdapat mesej seperti ‘Zayn hilang’, ‘dia lari’, ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’ dan ‘letih gila aku mencari’ yang dihantar antara jam 12.20 hingga 12.59 tengah hari.
Baby Sayang, Manja
Mesej-mesej ini diperoleh hasil analisis terhadap telefon Huawei milik tertuduh, dengan tarikh-tarikh perbualan dikenal pasti berlaku pada 20 Jun, 11 Oktober, 20 Oktober, 1 Disember dan 5 Disember tahun lalu. Perbualan itu direkod antara nama kontak ‘Baby Sayang’ dan ‘Manja’, dan turut melibatkan usaha memulihkan mesej serta gambar yang telah dipadam, seperti diarahkan oleh pegawai penyiasat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Pasangan itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, atas kesalahan mengabaikan anak mereka antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam keesokannya.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan ditemui tidak bernyawa di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman keesokan harinya, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh akan bersambung esok.








