Juara Masterchef Indonesia Musim 5, Stefani Horison atau Fani, telah membuka restoran di Tangerang, Indonesia yang menghidangkan masakan Malaysia bagi warganegara yang merindui cita rasa masakan di Malaysia.
Panho Panmee & Nasi Kandar, menawarkan pelbagai hidangan Malaysia termasuk nasi kandar, mee kari wantan ayam, panmee asli dan cendol durian.
Kritik nasi kandar Malaysia
Baru-baru ini, vlogger tempatan, Boengkoes Official, berkongsi review makanan di restoran tersebut, bersama dengan Stefani yang turut menemaninya.
Dalam video tersebut, Boengkoes mencuba pelbagai hidangan, termasuk hidangan kegemaran Malaysia iaitu Nasi Kandar versi Stefani.
Di kesempatan itu, Stefani berkongsi pandangannya tentang mengapa versinya berbeza daripada nasi kandar yang biasa dijumpai di Malaysia. Walaupun dia gemar makan nasi kandar setiap hari, tetapi rasa nasi kandar Malaysia kurang memuaskan, kurang berperisa.
Hal itu mendorong Stefani membuat nasi kandar sendiri dengan menggunakan bahan-bahan segar. Salah satu perbezaan utamanya adalah pemilihan rempah-rempah segar buatan sendiri, berbanding menggunakan serbuk rempah yang sudah siap.
Dia juga memaklumkan, serbuk rempah sedemikian biasa digunakan di Malaysia yang memberikan tekstur kasar pada kari.
“Dalam masakan Malaysia, mereka menggunakan serbuk rempah. Jadi bila dicurah, ia terasa seperti berpasir. Berbanding menggunakan rempah-rempah yang baru digiling, memberikan pengalaman nasi kandar yang lebih authentic dan berperisa,” katanya.
Dikritik netizen
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Stefani mengenai nasi kandar Malaysia mengundang pelbagai reaksi di ruangan komen. Ada sesetengah penonton mendakwa kenyataannya itu biadab. Tidak kurang juga yang mengatakan nasi kandar buatanya kelihatan seperti Nasi Kari dan tidak sepatutnya dibandingkan dengan nasi kandar Malaysia.
“Kami orang Malaysia tak pernah cakap, ‘Bakso kami lebih sedap’ kerana kami respect makanan negara Indonesia. Kami sedar kami belum cuba yang terbaik dari Indonesia. Kamu warga Indonesia gak punya nilai hormat pada orang lain,” kata Cekdi.
“Nasi kandar original kat Penang. Diorang guna rempah fresh yang digiling, bukannya guna peket serbuk rempah. Nasi kandar Stefani nampak cair giler, sedangkan kuah nasi kandar sebenarnya lebih pekat.
“Kami rakyat Malaysia tak terima nasi kandar Stefani ni yang dikatakan lebih sedap sebab nasi kandar original dari Penang lebih umph,” kata Cik Mawar.