Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Susulan isu pembatalan konsert penyanyi Aisha Retno yang dijadual berlangsung pada 16 November lalu, penganjur konsert, Kharisma Music International tampil menjawab segala spekulasi dan menafikan tuduhan dan dakwaan yang berlegar.
Dalam satu kenyataan, pihak penganjur menegaskan pembatalan konsert berkenaan adalah disebabkan oleh penjualan tiket yang tidak memberangsangkan dan keengganan pihak pengurusan Aisha Retno sendiri yang tidak mahu menangguhkan konsert ke satu tarikh baharu.
Bayaran semula wang pendahuluan
Pihak penganjur juga telah meminta Aisha Retno untuk membayar semula RM74,000 yang diberikan untuk membantu persiapannya bagi Anugerah Juara Lagu 2024 (AJL) pada awal tahun ini.
Bagaimanapun, peguam syarikat itu, Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof, berkata wang pendahuluan telah diberikan berjumlah RM80,000, dan Aisha hanya membayar sebanyak RM6,000.
Dalam kenyataan tersebut juga menyebut pihak pengurusan Aisha, Aisha Retno Entertainment (ARE) telah berjumpa dengan pihak Kharisma untuk memohon dana sebagai persiapan bagi Anugerah Juara Lagu 2024. Dalam pertandingan tersebut, Aisha telah memenangi anugerah persembahan terbaik.
“Dia mengalami kesukaran mengumpul dana untuk persembahannya, jadi kami bersetuju untuk memberikan wang pendahuluan, dan sebagai balasan, dia bersetuju untuk mengadakan konsert solo pada 3 Ogos,” katanya.
Bagaimanapun, Aisha kemudiannya memutuskan untuk menyertai pertandingan realiti selama 10 minggu yang dianjurkan oleh sebuah rangkaian televisyen. Tindakan Aisha telah menyukarkan promosi dan penganjuran konsert dan seterusnya memberi kesan terhadap penjualan tiket.
“Namun, ARE berkeras bahawa Aisha perlu menyertai pertandingan tersebut kerana hubungan kerja yang baik antara Aisha dan stesen televisyen berkenaan,” katanya.
Konsert tersebut kemudiannya ditunda pada 16 November dan semasa penyertaan Aisha dalam program berkenaan, katanya segala perancangan, perjalanan dan pemasaran konsert itu tertangguh selama 10 minggu dan Aisha dikatakan hanya membuat promosi tentang konsert pada minggu terakhir (minggu kesepuluh).
Hanya 98 tiket terjual
Dalam pada itu, pihak Kharisma juga mendedahkan jualan tiket konsert itu hanya terjual sebanyak 98 tiket daripada 2414 jumlah tiket yang ditawarkan. Kharisma Music ada mencadangkan agar konsert berkenaan ditangguh, namun pihak ARE bertegas supaya tetap diteruskan.
Terdahulu, Aisha Retno dalam satu kenyataan menyatakan rasa terkejut dan kecewa dengan pembatalan konsert berkenaan.
Sumber: YUKA Kharisma official, NST








