Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Starbucks melaporkan penurunan jualan global sebanyak 7% bagi tempoh Julai-September, menjadikan ia suku ketiga berturut-turut mencatatkan penurunan.
Menurut laporan Anadolu, jualan global kedai Starbucks bagi suku tersebut menurun 7%, dan untuk keseluruhan tahun kewangan, ia jatuh sebanyak 2% dalam tempoh 52 minggu yang berakhir pada 29 September.
Pendapatan sesaham syarikat itu turut mengalami penurunan sebanyak 25% berbanding tempoh yang sama tahun lalu kepada 80 sen. Pendapatan bersih syarikat juga turun 3% kepada $9.1 bilion.
Syarikat gergasi kopi itu mengambil langkah menggantung ramalan tahunan bagi tahun fiskal seterusnya ketika CEO baharu, Brian Niccol, mengumumkan keperluan untuk melakukan ‘perubahan besar’.
Dalam kenyataannya, Starbucks menjelaskan bahawa prestasi kewangan mereka yang lemah tahun ini disebabkan oleh penurunan ketara dalam jumlah pelanggan, sikap pengguna yang lebih berhati-hati, dan pelaburan yang dilakukan tidak memberi kesan positif kepada tingkah laku pelanggan.
Ketua Pegawai Kewangan Starbucks, Rachel Ruggeri berkata, walaupun syarikat telah meningkatkan pelaburan, jumlah pelanggan tidak menunjukkan peningkatan walaupun langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan telah diambil. Namun, Starbucks mempunyai rancangan jangka panjang untuk memulihkan perniagaannya.
Kesan boikot
Starbucks juga menghadapi protes dan kempen boikot di seluruh dunia kerana menyokong Israel, yang mempengaruhi prestasi kewangan syarikat dalam tiga suku terakhir.
Syarikat tersebut menurunkan unjuran jualan tahunan untuk tempoh Oktober-Disember tahun lepas kerana jualan di Timur Tengah terjejas. Pada Januari-Mac, pendapatan jatuh 2% dan jualan global turun 4%, yang merupakan penurunan pertama sejak akhir 2020. Starbucks juga melaporkan jualan globalnya jatuh 3% pada April-Jun.








