'Jika tidak berpuas hati, dipersilakan pindah ke negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu' - Pemangku Sultan Johor | The Reporter

‘Jika tidak berpuas hati, dipersilakan pindah ke negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu’ – Pemangku Sultan Johor

Sumber Gambar: Jaringan X HRH Crown Prince of Johor

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Baru-baru ini Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa cuti hujung minggu di negeri Johor ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.

Penukaran cuti hujung minggu berkenaan disambut baik oleh rakyat di negeri berkenaan.

Susulan itu, timbul beberapa pendapat lain yang tidak bersetuju dengan penukaran cuti hujung minggu tersebut.

Tunku Mahkota Ismail dalam satu kenyataan di media sosial bagaimanapun menegaskan pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati dengan penukaran semula cuti hujung minggu itu demi agenda peribadi, melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik dipersilakan berpindah ke negeri-negeri yang masih bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu.

“Ada beberapa negeri masih kekal bercuti hari Jumaat dan Sabtu. Dalam mempertimbangkan isu berkaitan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri Johor.

“Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya,” titahnya.

Menurut baginda, keputusan yang dibuat itu adalah dengan izin dan restu KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong selain pandangan Majlis Agama Islam Negeri Johor, Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat,

“Maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.

“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,” titahnya.

Related Posts