Isu pembinaan sebuah masjid baharu di Dengkil yang tertangguh sejak lebih sedekad lalu akhirnya terungkai sedikit demi sedikit selepas pihak berkuasa turun padang bagi meninjau kawasan yang didakwa diceroboh.
Tapak seluas 10 ekar itu dilaporkan telah diwartakan pada tahun 2012 dan diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk membina sebuah masjid bagi menggantikan masjid lama yang mengalami isu ruang parkir terhad.
Pencerobohan dan tuntutan tanah jadi punca tertangguh
Bagaimanapun, kelewatan pembinaan dikaitkan dengan tuntutan oleh pihak yang mendakwa kawasan tersebut adalah tanah asal mereka. Namun siasatan awal Pejabat Tanah mendapati tanah tersebut adalah milik kerajaan dan tidak pernah diwartakan sebagai milik Orang Asli.
- Catatan doa dan persiapan Haji Lisa Surihani raih perhatian
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
- Azhar Ahmad, Nik Alif Aiman capai perdamaian, selesai salah faham secara baik
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
Lebih memburukkan keadaan, kawasan itu telah diceroboh dan didirikan pelbagai struktur termasuk rumah, kandang ternakan, rumah kongsi yang disewakan kepada pekerja binaan, serta beberapa tempat ibadat.
JAIS turun padang
Dalam satu lawatan rasmi pagi tadi, JAIS bersama Pejabat Daerah dan Ketua Kampung telah mengadakan perbincangan bersama individu yang kini menetap di atas tapak masjid berkenaan.
Menurut Pengerusi JPKK Dengkil, hasil perbincangan mendapati struktur kuil dan tokong kecil yang terdapat di situ hanyalah digunakan oleh keluarga yang mendiami kawasan itu, dan bukan untuk kegunaan umum penganut Hindu atau mana-mana agama tertentu.
“Isu ini bukan isu perkauman atau agama. Tapi ini isu pencerobohan tanah milik kerajaan yang sudah lama diperuntukkan untuk pembinaan masjid,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, individu terbabit memaklumkan dia sedia berundur dari kawasan itu, namun meminta pampasan terlebih dahulu. Dalam hal ini, beliau menyerahkan kepada JAIS untuk memberikan penjelasan dan tindakan lanjut.

Penduduk harap ada jalan penyelesaian
Sementara itu, penduduk kampung berharap agar isu ini dapat diselesaikan segera memandangkan peruntukan untuk pembinaan masjid baharu sudah pun tersedia.
“Saya sebagai wakil penduduk sangat berharap masjid itu dapat dibina. Sudah terlalu lama tertangguh,” katanya.
Tindakan susulan daripada JAIS dan Pejabat Daerah kini dinanti-nantikan oleh masyarakat sekitar, dengan harapan agar tanah yang diperuntukkan itu dapat dimanfaatkan mengikut tujuan asalnya.








