Isu tapak masjid Dengkil: penghuni mohon tanah ganti untuk berpindah | The Reporter

Isu tapak masjid Dengkil: penghuni mohon tanah ganti untuk berpindah

Perbincangan antara wakil penduduk dengan pihak berkuasa berkaitan isu tapak Masjid Baharu Dengkil
Foto: Facebook Pengerusi JPKK Dengkil

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang penghuni yang menduduki tapak bakal pembinaan Masjid Baharu Dengkil memohon agar pihak berkuasa menyediakan tanah ganti sekiranya mereka diarahkan berpindah dari kawasan tersebut.

Lapor TV Pertiwi, Raman Ganggatharam, 49, berkata beliau sudah menetap di kawasan itu selama 25 tahun bersama isteri dan tiga anak, serta menternak lembu dan kambing sebagai sumber rezeki utama.

Menurutnya, dia tidak mengetahui bahawa tanah tersebut telah diperuntukkan untuk pembinaan masjid dan mendakwa diberi kebenaran sebelum ini untuk tinggal di situ, yang dipercayai merupakan kawasan rizab sungai.

“Saya sudah pindah lima kali, terakhir di sini. Kami ternak binatang, nak cari makan saja. Kalau kena pindah, kami perlukan tanah baru untuk diri dan haiwan,” katanya ketika ditemui media di tapak berkenaan.

Tambah Raman, dia tidak menolak untuk berpindah sekiranya pihak berkuasa dapat menyediakan alternatif tempat tinggal dan lokasi sesuai untuk memindahkan ternakan yang dimiliki.

“Kita bukan tak nak keluar, tapi kalau keluar macam tu saja, kita dan haiwan nak pergi mana? Saya pun dah berumur, bukan senang nak mula semula,” ujarnya.

Sementara itu, semalam tular di media sosial satu hantaran daripada Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani yang mendakwa tapak masjid baharu di kampung itu telah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dengan membina kuil secara haram.

Al Rasyid turut menjelaskan bahawa isu berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama, namun kelewatan pembinaan masjid menyebabkan kawasan itu menjadi tanah terbiar dan akhirnya diceroboh.

Beliau turut menyeru agar pihak berkuasa negeri, termasuk JAIS dan pejabat daerah, segera menyelesaikan perkara ini bagi memastikan tanah yang diperuntukkan untuk rumah ibadat umat Islam itu tidak terus dipertikaikan.

Related Posts