Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kisah pelamin roboh baru-baru ini gara-gara tindakan seorang kanak-kanak terus menjadi perbualan hangat di media sosial. Kali ini seorang pengguna TikTok, @ainmakrentan tampil menegur secara terbuka ibu kepada kanak-kanak terbabit.
Dalam video berdurasi dua minit itu, wanita tersebut menzahirkan rasa kecewa terhadap sikap lepas tangan si ibu, yang sebelum ini dilihat hanya ketawa mengulas insiden berkenaan.
“Kalau anak saya, saya jadi singa. Kejap-kejap saya jerit, sebab saya tahu anak saya akal panjang,” katanya dengan tegas.
Beliau menyatakan bahawa sebelum anak bertindak, ibu bapa sepatutnya sudah bersiap siaga untuk mengawal dan mendidik anak agar tidak mencemarkan majlis orang.
“Kita dulu kena marah anak, bukan lepas tangan. Jangan tiba-tiba buat-buat terkejut, ‘saya tak sangka’,” ujarnya lagi.
Hormati majlis, biar beradab
Wanita itu juga mengingatkan bahawa majlis perkahwinan merupakan hari bersejarah buat pasangai mempelai, bukan sesuatu yang berlaku berkali-kali.
“Cuba letak diri kita di tempat pengantin. Bukan murah nak buat pelamin cantik. Mereka simpan duit lama, bayar mahal, tiba-tiba anak orang runtuhkan dan maknya boleh gelak-gelak?” katanya, kesal.
Didik anak dengan tegas
Tegurannya turut menyentuh tentang nilai empati dan rasa hormat terhadap ruang serta majlis orang lain, menegaskan bahawa penjelasan yang diberi ibu kanak-kanak itu sebelum ini lebih kepada “memperlekehkan” daripada meminta maaf dengan ikhlas.
“Biar orang nampak kita garang, asalkan kita tahu didik anak kita. Jangan sampai anak kita terlalu memanjakan anak kita, itu tak bagus,” katanya.
Netizen memenuhi ruangan komen dengan sokongan terhadap kenyataan wanita tersebut, menyifatkan teguran tersebut jujur dan wajar dalam mendidik sifat keibubapaan yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat.








