Isu lelaki berpakaian menyerupai wanita di acara hiburan, JAKIM akan panggil pihak berkaitan - The Reporter

Isu lelaki berpakaian menyerupai wanita di acara hiburan, JAKIM akan panggil pihak berkaitan

AJL39
Sumber Gambar: Malay Mail

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Isu tular mengenai lelaki berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah pertandingan malam tadi mengundang kecaman ramai.

Susulan itu juga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil beberapa pihak yang berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee memaklumkan JAKIM memandang serius isu berkenaan dan telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil perhatian serius terhadap isu yang tular mengenai lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita semasa sebuah acara program hiburan yang berlangsung pada 16 Februari 2025 sehingga menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya di Malaysia.

“Oleh itu, JAKIM telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu juga, semua pihak diseru agar sentiasa peka dan menghormati nilai-nilai sensitiviti agama di Malaysia.

“Pihak JAKIM turut akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan.

“Sehubungan itu, JAKIM menyeru dan menasihati semua pihak agar sentiasa peka, menghormati nilai-nilai serta sensitiviti agama di Malaysia. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan berharap agar perlakuan seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Sesungguhnya, Islam adalah agama rahmah dan menyantuni fitrah manusia yang menginginkan hiburan. Malah hiburan juga sebagai salah satu elemen yang membawa kepada kegembiraan, kesejahteraan dan memupuk nilai-nilai murni. Namun, perlu dibatasi dengan adab dalam berhibur agar tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam,” katanya.

Total
0
Shares
Total
0
Share