Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Susulan tular isu mengenai logo jalur gemilang yang ditampal secara terbalik di jersi baju pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, Victor Malaysia membuat permohonan maaf.
Victor yang merupakan penaja kepada Lee Zii Jia, memuat naik kenyataan permohonan maaf itu di akaun media sosial.
Dalam kenyataan tersebut, Victor mengakui kesilapan yang dibuat dan kesal dengan insiden yang berlaku.
“Kami memohon maaf kepada semua peminat badminton Malaysia dan Zii Jia atas kesilapan yang dipamerkan pada jersi Zii Jia.
“Bendera Malaysia melambangkan perpaduan dan identiti. Justeru, kami amat kesal dengan sebarang tindakan tidak disengajakan yang disebabkan oleh kesilapan ini,” katanya.
Jelasnya, pihaknya juga sedang meneliti secara menyeluruh bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.
Terdahulu, jersi yang dipakai Lee Zii Jia mencetuskan kontroversi apabila secara jelas kelihatan bendera Malaysia ditampal secara terbalik semasa perlawanan pertamanya di Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen.
Bagaimanapun, kontroversi berkenaan bukan sebagai halangan, apabila Zii Jia berjaya menewaskan Tien Chen 21-13, 21-15.








