Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Edward Wong Yi Xian, 20 tahun, dari SMJK Jit Sin, Bukit Mertajam, menjadi perhatian selepas gagal mendapat tempat dalam jurusan Perakaunan di Universiti Malaya (UM).
Dia memperoleh keputusan cemerlang dengan CGPA 4.0, markah kokurikulum 99.9 peratus dan merit keseluruhan hampir sempurna. Namun, melalui laluan Unit Pusat Universiti (UPU), Edward hanya ditawarkan kursus Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan pilihan kelimanya.
Permohonan ke UM juga tidak berjaya melalui UPU, tetapi diterima apabila dibuat menerusi saluran terbuka (SATU). Bezanya, yuran yang dikenakan melalui SATU ialah sekitar RM83,800, sedangkan melalui UPU hanya kira-kira RM8,300.
Baca juga:
- Tular video Dara, Kelat dan Amoi di Jepun, undang sebak netizen
- Syukri Bazli, penderma organ keempat 2026 terima ‘Walk of Honor’ di HSNZ
- Photoshoot bunga api pengantin cetus gangguan penduduk
“Saya hanya ada satu impian, iaitu diterima masuk ke program Perakaunan UM. Saya curahkan seluruh tenaga, masa dan usaha, menempuh silibus paling mencabar di negara ini. Saya tidak pernah berputus asa kerana saya percaya jika kita berikan segalanya, hasilnya akan datang.
“Akhirnya, keempat-empat universiti utama tidak menawarkan jurusan Perakaunan kepada saya. Saya hanya ditawarkan kursus Pengurusan di USM, sedangkan itu bukan laluan yang saya perjuangkan selama ini.
“Persoalannya, sejauh mana kami perlu berusaha untuk mencapai impian? Berapa banyak lagi yang perlu dikorbankan untuk mendapatkan hak memilih? Adakah usaha kami langsung tidak dihargai?” katanya.

Keluarga kecewa, MCA tuntut penjelasan UM
Bapa Edward, Wong Hooi Yik, turut meluahkan rasa kecewa kerana pengorbanan anaknya selama dua tahun menumpukan sepenuh tenaga kepada STPM seolah-olah tidak dihargai.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, turut mempersoalkan perkara ini dengan menyatakan bahawa sistem dua laluan di UM, iaitu UPU dan SATU, berpotensi mewujudkan jurang peluang antara pelajar berkemampuan dan pelajar daripada keluarga sederhana atau kurang berkemampuan.
“Perkara ini tidak masuk akal. Dengan markah keseluruhan 99.9%, Wong sepatutnya diterima melalui UPU. Namun dia ditolak di situ tetapi diterima melalui SATU dengan yuran lebih 10 kali ganda lebih tinggi. Tidakkah ini menjadikan UPU seolah-olah tidak bermakna?”
Wee juga berkata MCA menerima aduan lain tentang pelajar yang pada awalnya diterima melalui UPU, tetapi diminta membayar yuran penuh bermula tahun kedua. Beliau memberi amaran bahawa keadaan ini boleh menyebabkan Malaysia kehilangan pelajar cemerlang yang mungkin memilih melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti Singapura.
Kes Edward menimbulkan persoalan tentang ketelusan proses kemasukan universiti awam. Wee berkata isu ini akan dibawa kepada Menteri Pendidikan Tinggi agar penambahbaikan dapat dibuat demi menjamin peluang pelajar cemerlang.








