Pelakon, Idzham Ismail, berkongsi pengalaman peribadinya melalui satu hantaran di platform Threads kelmarin, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, terutamanya golongan lelaki.
Menurut Idzham, isterinya sudah beberapa tahun tidak memasak untuk keluarga mereka. Namun, ini bukanlah kerana isterinya ‘malas’, tetapi atas kehendak Idzham sendiri.
Aktor berusia 36 tahun itu menjelaskan, dia lebih suka membawa keluarga makan di luar sebagai salah satu cara untuk meluangkan masa bersama.
“Saya tak nak isteri saya penat. Kami makan di luar setiap hari dan secara tak langsung bawa anak bini ambil angin luar,” jelas Idzham.
Dalam hantaran tersebut, Idzham turut menzahirkan rasa hairan apabila ada sesetengah lelaki yang enggan melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga, terutamanya dalam hal nafkah, walaupun mereka berkemampuan.

“Saya tak faham macam mana ada perempuan yang bertemu dengan lelaki yang tak uruskan semua nafkah. Maksud saya, yang mampu atau malas bekerja ini,” tambahnya.
Namun, Idzham menegaskan bahawa manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan, dan setiap kesalahan itu harus diinsafi dengan kembali kepada ajaran agama Islam.








