Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita sempat mengejutkan suaminya untuk memaklumkan rumah mereka terbakar sebelum dia bersama empat anaknya rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.35 pagi apabila Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, dikejutkan oleh isterinya, Laila Fathinah Mustapa, 37, yang memberitahu rumah mereka sedang terbakar.
“Mangsa cuba menyelamatkan ahli keluarganya, namun gagal kerana mengalami kesukaran bergerak akibat kecederaan kaki kanan yang patah dan sesak nafas akibat asap tebal.
“Pada jam 3 pagi, api berjaya dipadamkan dan bomba menemui lima mayat rentung seratus peratus iaitu isteri dan anak-anak mangsa,” katanya.
Lima mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Laila Fathinah serta empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4.

Suami mohon maaf kepada ibu mentua
Dalam keadaan masih trauma, Muhammad Khairuddin sempat meminta maaf kepada ibu mentuanya, Ruziha Osman, 60, kerana gagal menyelamatkan isteri dan anak-anaknya.
“Masih terngiang-ngiang suara isteri meminta tolong dan memanggil nama anak-anak,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui di Hospital Jasin.
Tragedi menyayat hati itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang meluangkan masa menziarahi Muhammad Khairuddin di hospital serta menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada keluarga mangsa.
Ibu terkilan, tidak sangka anak hamil lima bulan rentung
Sementara itu, Ruziha meluahkan rasa pilu apabila mengetahui anak sulungnya yang rentung dalam kebakaran itu sedang hamil lima bulan.
Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu adalah malam sebelum kejadian, di mana arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
“Arwah ceria dan bergurau seperti biasa. Saya tak sangka akan kehilangan mereka semua sekelip mata, terutama selepas mereka terselamat dalam kemalangan di Brisu, Alor Gajah pada 30 Januari lalu,” katanya.
Ruziha turut berkongsi bahawa anak ketiga Laila Fathinah, yang berusia lapan tahun, terselamat kerana berada bersamanya di Puchong ketika kejadian.
Jenazah lima beranak itu dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat, dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Harian Metro