Israel serang Lebanon dengan alasan pertahankan diri, Hezbollah balas dengan 320 roket | The Reporter

Israel serang Lebanon dengan alasan pertahankan diri, Hezbollah balas dengan 320 roket

Gambar menunjukkan asap di sebelah Lebanon sempadan dengan Israel (Kredit: foto Aziz Taher – Reuters)

Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas selatan Lebanon pada Ahad, atas alasan mempertahankan diri bag mencegah serangan Hezbollah.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari berkata, serangan itu bertujuan untuk menghapuskan ancaman roket dan peluru berpandu susulan pihaknya mendapat maklumat Hezbollah sedang bersiap sedia melancarkan serangan ke arah wilayah Israel.

Serangan udara tersebut melibatkan lebih daripada 100 jet pejuang yang menyasarkan lebih 40 tapak Hezbollah di Lebanon.

IDF mendakwa mereka telah mengenal pasti dan memusnahkan pelancar roket dan kedudukan peluru berpandu yang dikhuatiri boleh menimbulkan ancaman kepada rakyatnya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di Tel Aviv telah menangguhkan semua penerbangan keluar dan mengarahkan pesawat yang sedang dalam perjalanan untuk mendarat di lapangan terbang alternatif.

Hezbollah balas 320 roket

Bagaimanapun, Hezbollah bertindak balas dengan melancarkan lebih daripada 320 roket Katyusha ke arah Israel.

Serangan ini menyasarkan 11 pangkalan tentera Israel dan kem-kem tentera sebagai sebahagian daripada serangan yang dirancang selepas pembunuhan komander mereka, Fuad Shukr, pada bulan Julai lalu.

Hezbollah berkata, “Fasa pertama telah berakhir dengan kejayaan sepenuhnya”, dengan tujuan untuk “menyasarkan kem-kem tentera dan kedudukan tentera Israel bagi memudahkan laluan dron serangan ke arah sasaran” di dalam Israel.

Pertempuran ini menandakan peningkatan ketegangan yang ketara antara kedua-dua pihak, yang telah berbalas serangan sejak permulaan perang Israel dengan Hamas di Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, sedang menguruskan situasi ini dari pangkalan tentera IDF di Tel Aviv.

Netanyahu menegaskan, Israel tidak mencari peperangan besar-besaran tetapi akan bertindak untuk melindungi rakyat dan wilayahnya. – Agensi

Related Posts