Israel dakwa Iran lakukan jenayah perang selepas hospital dibedil peluru berpandu | The Reporter

Israel dakwa Iran lakukan jenayah perang selepas hospital dibedil peluru berpandu

Hospital Soroka di Israel terbakar selepas terkena peluru berpandu Iran
Keadaan Pusat Perubatan Soroka di Beersheba selepas serangan peluru berpandu Iran, dengan asap tebal menyelubungi bangunan. | Kredit gambar: Leo Correa/AP

• Hospital Soroka di Israel dibedil Iran, 71 cedera
• Israel tuduh Ayatollah Khamenei lakukan jenayah perang
• Serangan balas Israel sasar reaktor nuklear Arak dan lokasi strategik Iran

Sebuah hospital utama di selatan Israel dilaporkan rosak teruk selepas terkena peluru berpandu Iran awal Khamis, mencederakan lebih 70 orang dan mencetuskan kemarahan kerajaan Israel yang menuduh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, melakukan jenayah perang.

Serangan terhadap Pusat Perubatan Soroka itu menyebabkan tingkap pecah, asap tebal menyelubungi bangunan dan operasi kecemasan terpaksa diaktifkan. Walaupun tiada kecederaan serius dilaporkan, bahagian yang terjejas telah pun dikosongkan lebih awal. Israel menyatakan serangan itu tidak boleh diterima, manakala Iran mendakwa sasarannya adalah tapak risikan ketenteraan berhampiran.

Iran nafi dakwaan Israel kononnya mereka membedil hospital
Gambar tular yang mendakwa dua lokasi sasaran berdekatan hospital berkenaan

Apa sebenarnya berlaku dalam serangan peluru berpandu Iran?

Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan sebanyak 271 orang cedera dalam serangan peluru berpandu Iran pada Khamis, termasuk 71 mangsa di hospital Soroka, kebanyakannya cedera ringan. Serangan turut mengenai sebuah pangsapuri tinggi di Tel Aviv, menyebabkan penduduk terperangkap sebelum diselamatkan.

Ketika serangan berlaku, langit Tel Aviv dipenuhi letupan berterusan apabila sistem pertahanan udara Israel bertindak memintas peluru berpandu. Namun, beberapa peluru berjaya menembusi sistem tersebut termasuk satu yang dipercayai mengandungi bom berangkai, bom yang melepaskan lebih 20 bahan letupan kecil ketika menghampiri sasaran. Tentera Israel kini memberi amaran kepada orang awam supaya menjauhi bom yang tidak meletup dan melaporkannya segera.

Israel tuduh Iran lakukan jenayah perang, sasar balas dengan lebih agresif

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberi amaran tegas terhadap serangan itu dan berkata, “Kami akan pastikan pemimpin di Tehran menerima balasan yang setimpal.” Manakala Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menuduh Iran melakukan “jenayah perang paling berat” dan menyatakan Ayatollah Khamenei “akan dipertanggungjawabkan atas jenayahnya.”

“Saya dan Perdana Menteri telah mengarahkan IDF untuk meningkatkan serangan ke atas sasaran strategik di Iran dan sasaran kerajaan di Tehran bagi menghapuskan ancaman terhadap Israel dan melemahkan rejim ulama.”

Serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran terus dilancarkan

Israel turut menyerang reaktor air berat Arak sebagai sebahagian daripada serangan balasnya ke atas program nuklear Iran. Walau bagaimanapun, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan tiada bahan radioaktif di tapak itu dan tiada risiko radiasi kepada orang awam.

Reaktor air berat Arak berfungsi menyejukkan reaktor nuklear dan menghasilkan plutonium sebagai hasil sampingan, bahan yang boleh digunakan dalam senjata nuklear jika tidak dikawal. Walaupun Iran sebelum ini bersetuju untuk mengubah suai reaktor tersebut di bawah perjanjian nuklear 2015, reaktor itu kembali beroperasi sebahagian pada 2019.

Israel sebelum ini turut mensasarkan tapak penting lain seperti Natanz, Isfahan dan bengkel sentrifug di sekitar Tehran. Sepanjang seminggu konflik ini, lebih 639 orang dilaporkan terbunuh di Iran termasuk 263 orang awam, manakala lebih 1,300 lagi cedera. Di Israel, sekurang-kurangnya 24 maut akibat serangan balas Iran. – Agensi

Related Posts