Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Netanyahu dakwa Israel hanya sasar rejim Iran, bukan orang awam
• Kenyataan itu dipertikai berikutan rekod serangan Israel ke atas Gaza
• Iran balas dengan peluru berpandu, sekurang-kurangnya 24 rakyat Israel maut
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa tenteranya kini menguasai ruang udara Tehran dan hanya menyasarkan kemudahan rejim Iran, berbeza dengan Iran yang menurutnya menyerang kawasan awam di Israel.
Kenyataan itu dibuat semasa lawatan ke Pangkalan Udara Tel Nof, bersama Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz dan Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir. Ia susulan serangan udara Israel terhadap Iran sejak hujung minggu lalu yang menurut Netanyahu menyasarkan lebih 120 pelancar peluru berpandu.
“Kita sedang menuju kemenangan… dua matlamat utama sedang dicapai iaitu menghentikan ancaman nuklear dan peluru berpandu Iran,” kata Netanyahu.
“Kami tak seperti Iran,” dakwa Netanyahu, tetapi rekod Israel dipersoal
Netanyahu berkata, meskipun Israel kini memiliki kebebasan bergerak di ruang udara Tehran, tentera udara hanya menyasarkan kemudahan milik rejim.
“Tidak seperti rejim Iran yang menyasarkan rakyat kami dan datang untuk mencederakan wanita serta kanak-kanak,” katanya.
Beliau juga mendakwa pihaknya telah memberi amaran awal kepada penduduk Tehran supaya mengosongkan kawasan tertentu sebelum serangan dilakukan.
Namun begitu, kenyataan Netanyahu itu mengundang persoalan dalam kalangan pemerhati antarabangsa yang mempersoalkan sama ada Israel benar-benar mengelak daripada menyerang kawasan awam. Beberapa pihak mengingatkan tentang rekod serangan di Gaza sebelum ini yang melibatkan kematian ratusan wanita dan kanak-kanak Palestin.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Effie Defrin berkata penguasaan langit Tehran memberi kelebihan ketara kepada operasi ketenteraan negara itu.
Serangan balas Iran berterusan, Israel sekat media dedah berita sebenar
Susulan Operasi Rising Lion oleh Israel pada Jumaat lalu, Iran melepaskan 335 peluru berpandu dan lebih 100 dron ke arah Israel. Menurut IDF, kebanyakannya berjaya dipintas, namun sekurang-kurangnya 24 rakyat Israel maut dan lebih 300 cedera.
Akibat konflik yang berlarutan, kerajaan Israel mengenakan sekatan terhadap laporan media tempatan, termasuk larangan melaporkan lokasi serangan, kerosakan kemudahan strategik dan keupayaan ketenteraan.








